'KASIH Wanita' Dipilih Sebagai Tema Hari Wanita Antarabangsa 2023

'𝑲𝑨𝑺𝑰𝑯 𝑾𝑨𝑵𝑰𝑻𝑨' 𝑫𝑰𝑷𝑰𝑳𝑰𝑯 𝑺𝑬𝑩𝑨𝑮𝑨𝑰 𝑻𝑬𝑴𝑨 𝑯𝑨𝑹𝑰 𝑾𝑨𝑵𝑰𝑻𝑨 𝑨𝑵𝑻𝑨𝑹𝑨𝑩𝑨𝑵𝑮𝑺𝑨 𝟐𝟎𝟐𝟑 
Setiap tahun 𝟖 𝑴𝒂𝒄 merupakan 𝑯𝒂𝒓𝒊 𝑾𝒂𝒏𝒊𝒕𝒂 𝑨𝒏𝒕𝒂𝒓𝒂𝒃𝒂𝒏𝒈𝒔𝒂 seluruh dunia, ianya disambut sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa wanita yang sangat signifikan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memilih 𝑲𝑨𝑺𝑰𝑯 𝑾𝒂𝒏𝒊𝒕𝒂 sebagai tema sambutan untuk tahun ini.
Akronim 𝑲𝑨𝑺𝑰𝑯 membawa konsep seperti;
𝑲 - 𝑲𝒂𝒔𝒊𝒉 𝑺𝒂𝒚𝒂𝒏𝒈
𝑨 - 𝑨𝒌𝒉𝒍𝒂𝒌 𝑴𝒖𝒍𝒊𝒂
𝑺 - 𝑺𝒊𝒉𝒂𝒕
𝑰 - 𝑰𝒍𝒎𝒖
𝑯 - 𝑯𝒂𝒓𝒎𝒐𝒏𝒊
Untuk menghargai Wanita yang sentiasa mencurahkan kasih sayang, mengekalkan akhlak mulia, memastikan diri dan keluarga sihat, sentiasa mempertingkatkan ilmu dan memelihara keharmonian sekeliling. Ianya sejajar dengan konsep MADANI seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan.
Logo ini menggunakan tiga warna iaitu merah, biru dan kuning. Merah dan biru yang membentuk gambar hati melambangkan sifat kasih dan cinta wanita kepada diri, keluarga dan negara. Merah juga melambangkan sifat keberanian wanita dalam menghadapi apa jua rintangan manakala, kuning adalah warna aktif dan bertenaga, ia melambangkan kebijaksanaan, semangat serta harapan. Selain itu, biru juga lambang kesetiaan wanita kepada negara dan akan sentiasa bersama dalam mengharungi pelbagai rintangan demi mengukuhkan perpaduan.
𝑺𝒂𝒎𝒃𝒖𝒕𝒂𝒏 𝑯𝒂𝒓𝒊 𝑾𝒂𝒏𝒊𝒕𝒂 𝑨𝒏𝒕𝒂𝒓𝒂𝒃𝒂𝒏𝒈𝒔𝒂 𝟐𝟎𝟐𝟑 akan diadakan di 𝑫𝒆𝒘𝒂𝒏 𝑷𝒆𝒓𝒅𝒂𝒏𝒂 𝑭𝒆𝒍𝒅𝒂, 𝑲𝒖𝒂𝒍𝒂 𝑳𝒖𝒎𝒑𝒖𝒓 pada 𝟖 𝑴𝒂𝒄 𝟐𝟎𝟐𝟑 dan akan dirasmikan oleh 𝒀𝑨𝑩 𝑫𝒂𝒕𝒐' 𝑺𝒆𝒓𝒊 𝑨𝒏𝒘𝒂𝒓 𝑰𝒃𝒓𝒂𝒉𝒊𝒎, 𝑷𝒆𝒓𝒅𝒂𝒏𝒂 𝑴𝒆𝒏𝒕𝒆𝒓𝒊 𝑴𝒂𝒍𝒂𝒚𝒔𝒊𝒂.
Ayuh Wanita, kita melakar kejayaan 𝑲𝑨𝑺𝑰𝑯 𝑾𝒂𝒏𝒊𝒕𝒂 !
 

Diterbitkan pada . Kategori Berita Terkini.

LATAR BELAKANG JABATAN PEMBANGUNAN WANITA

Pada tahun 1975, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Integrasi Wanita Dalam Pembangunan (National Advisory Council on the Integration of Women in Development – NACIWID) sebagai jentera bagi memastikan penglibatan wanita dalam pembangunan. Urus setia Majlis tersebut adalah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri . Ahli-ahli Majlis berkenaan dilantik oleh YAB Perdana Menteri bagi tempoh tiga tahun.

Pada tahun 1983, Urusetia Hal Ehwal Wanita, Jabatan Perdana Menteri atau HAWA diwujudkan bagi mengambil alih tugas sebagai Urusetia NACIWID.

Pada 26 Ogos 1985, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju supaya HAWA diperkukuhkan dengan menaikkan tarafnya kepada Bahagian.

Pada 27 Oktober 1990, Bahagian Hal Ehwal Wanita telah dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Pada 29 Januari 1997, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Bahagian Hal Ehwal Wanita dinaikkan taraf kepada sebuah Jabatan.

Pada 1 Julai 1997, HAWA beroperasi sebagai sebuah Jabatan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat.

Pada 18 Disember 1999, selepas Pilihanraya Umum 1999 dan rombakan Kabinet, Jabatan Hal Ehwal Wanita telah diletakkan semula di Jabatan Perdana Menteri.

Pada 1 Julai 2001, Jabatan Hal Ehwal Wanita distruktur semula dan dinamakan sebagai Jabatan Pembangunan Wanita (JPW). JPW berfungsi sebagai jentera pelaksana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan menjalankan program dan aktiviti pembangunan wanita selaras dengan visi dan misi KPWKM. 

 JPW terdiri daripada enam (6) bahagian:-

  1. Bahagian Khidmat Pengurusan
  2. Bahagian Pelaksanaan Dasar Wanita
  3. Bahagian Penilaian, Pemantauan dan Pengurusan Pengetahuan
  4. Bahagian Usahasama Strategik
  5. Bahagian Pembangunan Psikologi
  6. Bahagian Pengupayaan Wanita 

Pada 1 Mac 2002, telah ditubuhkan Pejabat Cawangan JPW di (12) tempat :- 

  1. Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perlis
  2. Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kedah
  3. Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pahang
  4. Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang
  5. Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perak
  6. Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Selangor
  7. Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Negeri Sembilan
  8. Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Melaka
  9. Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor
  10. Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu
  11. Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kelantan
  12. Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

VISI

Peneraju dalam pembangunan masyarakat ke arah kemakmuran bersama.

MISI

Meningkatkan penglibatan dan kapasiti wanita dalam pelbagai sektor di semua peringkat bagi menyumbang dan menjadi agen pembangunan negara.


Kemaskini pada . Jumlah paparan: 5900

Nazirah (kiri) melawat tapak ruang niaga disediakan ahli PUSPANITA JPN di bangunan Ibu Pejabat JPN di Putrajaya. - Foto/Ihsan Nazirah Hamid
Nazirah (kiri) melawat tapak ruang niaga disediakan ahli PUSPANITA JPN di bangunan Ibu Pejabat JPN di Putrajaya. - Foto/Ihsan Nazirah Hamid

KUALA LUMPUR: Menyedari ramai wanita terutama ibu tunggal terkesan dengan kenaikan harga barang ketika ini, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berdiam diri, sebaliknya mahu meringankan beban perbelanjaan harian ahlinya.

Pengerusi PUSPANITA JPN, Datin Nazirah Hamid, mengakui ahli di bawah PUSPANITA JPN juga tidak terkecuali, turut terkesan dengan kenaikan harga barang yang melanda serta mendepani situasi ekonomi melanda negara ketika ini.

Katanya, selari dengan objektif penubuhan PUSPANITA, pihaknya tidak berdiam diri, lantas memberi fokus kepada peningkatan pengetahuan, kemahiran dan kebajikan ahli-ahlinya.

"PUSPANITA JPN, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah merangka beberapa aktiviti yang dapat membantu ahli dalam mendepani cabaran semasa.

"Melalui Biro Ekonomi persatuan itu, memberi peluang kepada golongan terkesan untuk menjana pendapatan tambahan di jabatan itu dengan menyediakan 40 tapak ruang niaga di sekitar bangunan Ibu Pejabat JPN di Putrajaya yang beroperasi pada setiap Khamis.

"Ruang niaga ini terbuka kepada peniaga-peniaga kecil dan ahli PUSPANITA JPN yang berminat khususnya mereka yang terkesan dengan cabaran ekonomi ketika ini turut berpeluang meletakkan barangan untuk dijual di gerai yang diselia oleh urus setia tanpa meninggalkan tugas hakiki mereka," katanya kepada BH.

Beliau berkata, setakat ini sambutan yang diterima daripada golongan peniaga wanita amat memberangsangkan. Manakala, sambutan daripada orang ramai juga amat menggalakkan berikutan bilangan pelanggan berurusan di JPN ramai serta lokasinya yang berhampiran pelbagai jabatan kerajaan lain.

"Ini antara usaha yang dilakukan oleh PUSPANITA JPN dalam membantu golongan yang memerlukan terutama wanita." katanya.

Nazirah berkata, ketika ini PUSPANITA JPN juga merancang untuk mengadakan kursus penyediaan makanan dengan kerjasama cef terkenal dalam masa terdekat.

"Ini akan dapat meningkatkan kemahiran ahli-ahlinya dan seterusnya berpeluang menjana pendapatan tambahan.

"Saya berharap usaha ini mampu membantu ahli-ahli yang berminat untuk belajar teknik penyediaan makanan yang betul dan seterusnya boleh mula berniaga secara kecil-kecilan dan menjadikan ia sebagai pendapatan sampingan.

"Saya optimis dengan usaha PUSPANITA JPN ini ia dapat membantu sedikit sebanyak meringankan beban terutama golongan yang terkesan dengan kenaikan harga barangan ketika ini," katanya.

Beliau juga berharap semua wanita di negara ini sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan dan pelbagai kemahiran bagi meningkatkan potensi diri.

Jika wanita mempersiapkan diri dengan semua ciri-ciri itu pasti mereka akan menjadi golongan yang lebih berdaya saing, menonjol dengan cara mereka, selain mampu mengelak daripada ditindas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi - September 13, 2022 @ 10:54am

 Wanita buat semakan sebelum memutuskan belian sesuatu produk dalam talian. Foto hiasan
Wanita buat semakan sebelum memutuskan belian sesuatu produk dalam talian. Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Golongan ibu di beberapa negara termasuk Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina, semakin bijak menggunakan kemudahan internet apabila mereka sering membuat semakan terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barangan.

Digital Mum Survey (DMS) dilakukan oleh theAsianparent, iaitu platform kandungan dan komuniti terbesar di Asia Tenggara, melaporkan ibu bapa kini merangkumi 35 juta pengguna setiap bulan.

Seramai 3,014 ibu yang mengambil bahagian di dalam tinjauan dalam talian dikendalikan, pada tiga bulan pertama tahun ini.

Penganalisis Cerapan Pengguna Serantaunya, Jeremy Chang, berkata laporan tahun ini mendapati ibu membuat semakan bagi membantu mereka membuat keputusan sebelum membuat pembelian dalam talian.

"Tinjauan menunjukkan ibu membaca sekurang-kurangnya tiga artikel ketika membuat semakan ke atas sesuatu produk.

"Ibu di Malaysia membaca hampir seluruh artikel atau ulasan diikuti dengan Singapura, manakala di Thailand dan Indonesia membaca sejumlah artikel yang sama, manakala ibu di Filipina paling rendah membaca artikel produk," katanya.

Beliau berkata, laporan menunjukkan ibu sudah sebati dengan beberapa aplikasi media sosial dan menjadi selesa dengan pembelian dalam talian walaupun untuk barangan yang biasanya tidak dibeli secara fizikal.

Kategori barangan dibeli seperti peralatan rumah, perabot, produk bayi, kosmetik, penjagaan peribadi dan barangan elektronik menjadi item paling popular dibeli di laman e-dagang.

"Sebanyak 63 peratus ibu membeli pakaian bayi dalam talian; lampin pakai buang (54 peratus); keperluan penting penjagaan bayi seperti minyak, krim, dan syampu (53 peratus); aksesori kediaman seperti linen, kabinet, dan tilam (51 peratus); pakaian dewasa (45 peratus); produk penjagaan kulit (47 peratus) dan suplemen kesihatan (31 peratus)," katanya.

Luangkan masa di media sosial

Mengulas lanjut Jeremy berkata, pihaknya turut mendapati ibu menikmati sesi membaca tentang perkembangan semasa dan kisah peribadi di media sosial dengan topik nombor satu yang dicari adalah Tips Keibubapaan.

Katanya, ibu dari lima negara berkenaan dilihat memilih untuk membaca dan belajar daripada pengalaman ibu bapa lain.

"Ibu juga dilihat suka belajar lebih dan mendapat inspirasi daripada tips pendidikan atau fakta serta ucapan berinspirasi.

Mereka juga suka bergelak ketawa melihat lawak jenaka serta turut menggemari kandungan berkaitan dengan percutian, pertandingan dan hadiah percuma," katanya.

Katanya, tinjauan itu juga mendapati ibu meluangkan lebih masa dalam talian pada cuti hujung minggu, selain meluangkan lebih banyak masa di aplikasi media sosial dan televisyen dalam talian.

Katanya, ibu di Thailand meluangkan masa enam jam di dalam aplikasi media sosial dan dua jam untuk televisyen dalam talian.

"Ibu di Malaysia pula meluangkan masa beberapa jam di televisyen dalam talian tetapi menghabiskan 4.2 jam di dalam media sosial, manakala ibu di Filipina meluangkan 4.7 jam di dalam media sosial dan memakan masa lebih lama di televisyen dalam talian iaitu 2.1 jam.

"Golongan ibu di Singapura menghabiskan masa yang sama dan bilangan jam tertinggi di televisyen dalam talian seperti Filipina, tetapi meluangkan bilangan jam paling kurang di dalam media sosial iaitu 3.6 jam.

"Ibu di Indonesia pula masing-masing memperuntukkan 3.8 jam dan 1.5 jam menerusi aplikasi media sosial dan televisyen dalam talian," katanya.

Jeremy berkata, tinjauan itu tidak hanya membuktikan kebolehsuaian ibu dan pendekatan objektif mereka di dalam membuat pembelian atas talian.

Namun katanya, ia turut menunjukkan bagaimana pembelian dalam talian dan di stor fizikal boleh bekerja dengan harmoni di dalam kehidupan masyarakat yang sentiasa berubah sekarang ini.

"Ini dapat dilihat apabila semakin banyak jenama mula meningkatkan perkhidmatan mereka di sistem e-dagang dan pengalaman perkhidmatan pelanggan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan menerusi platform itu.

"Kami yakin selepas ini dapat melihat tingkah laku pengguna yang lebih dinamik terutamanya untuk ibu di seluruh Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina," katanya.