Nazirah (kiri) melawat tapak ruang niaga disediakan ahli PUSPANITA JPN di bangunan Ibu Pejabat JPN di Putrajaya. - Foto/Ihsan Nazirah Hamid
Nazirah (kiri) melawat tapak ruang niaga disediakan ahli PUSPANITA JPN di bangunan Ibu Pejabat JPN di Putrajaya. - Foto/Ihsan Nazirah Hamid

KUALA LUMPUR: Menyedari ramai wanita terutama ibu tunggal terkesan dengan kenaikan harga barang ketika ini, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berdiam diri, sebaliknya mahu meringankan beban perbelanjaan harian ahlinya.

Pengerusi PUSPANITA JPN, Datin Nazirah Hamid, mengakui ahli di bawah PUSPANITA JPN juga tidak terkecuali, turut terkesan dengan kenaikan harga barang yang melanda serta mendepani situasi ekonomi melanda negara ketika ini.

Katanya, selari dengan objektif penubuhan PUSPANITA, pihaknya tidak berdiam diri, lantas memberi fokus kepada peningkatan pengetahuan, kemahiran dan kebajikan ahli-ahlinya.

"PUSPANITA JPN, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah merangka beberapa aktiviti yang dapat membantu ahli dalam mendepani cabaran semasa.

"Melalui Biro Ekonomi persatuan itu, memberi peluang kepada golongan terkesan untuk menjana pendapatan tambahan di jabatan itu dengan menyediakan 40 tapak ruang niaga di sekitar bangunan Ibu Pejabat JPN di Putrajaya yang beroperasi pada setiap Khamis.

"Ruang niaga ini terbuka kepada peniaga-peniaga kecil dan ahli PUSPANITA JPN yang berminat khususnya mereka yang terkesan dengan cabaran ekonomi ketika ini turut berpeluang meletakkan barangan untuk dijual di gerai yang diselia oleh urus setia tanpa meninggalkan tugas hakiki mereka," katanya kepada BH.

Beliau berkata, setakat ini sambutan yang diterima daripada golongan peniaga wanita amat memberangsangkan. Manakala, sambutan daripada orang ramai juga amat menggalakkan berikutan bilangan pelanggan berurusan di JPN ramai serta lokasinya yang berhampiran pelbagai jabatan kerajaan lain.

"Ini antara usaha yang dilakukan oleh PUSPANITA JPN dalam membantu golongan yang memerlukan terutama wanita." katanya.

Nazirah berkata, ketika ini PUSPANITA JPN juga merancang untuk mengadakan kursus penyediaan makanan dengan kerjasama cef terkenal dalam masa terdekat.

"Ini akan dapat meningkatkan kemahiran ahli-ahlinya dan seterusnya berpeluang menjana pendapatan tambahan.

"Saya berharap usaha ini mampu membantu ahli-ahli yang berminat untuk belajar teknik penyediaan makanan yang betul dan seterusnya boleh mula berniaga secara kecil-kecilan dan menjadikan ia sebagai pendapatan sampingan.

"Saya optimis dengan usaha PUSPANITA JPN ini ia dapat membantu sedikit sebanyak meringankan beban terutama golongan yang terkesan dengan kenaikan harga barangan ketika ini," katanya.

Beliau juga berharap semua wanita di negara ini sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan dan pelbagai kemahiran bagi meningkatkan potensi diri.

Jika wanita mempersiapkan diri dengan semua ciri-ciri itu pasti mereka akan menjadi golongan yang lebih berdaya saing, menonjol dengan cara mereka, selain mampu mengelak daripada ditindas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.