Sambutan Hari Wanita 2022 bertema 'Saksama Bersama' pada 6-8 Mac

Gambar hiasan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Sambutan Hari Wanita 2022 Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 6 hingga 8 Mac depan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), berkata sambutan kali ini akan membabitkan aktiviti pameran kerjaya dan peluang perniagaan yang memberi akses kepada wanita menjana pendapatan.

"Ia juga menjadi pusat setempat yang menggabungkan agensi kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPWKM berkata 'Saksama Bersama' dipilih sebagai tema sambutan Hari Wanita 2022, untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan potensi wanita dapat diupaya dan dioptimumkan demi menyediakan masa depan negara yang mampan.

"Ia juga selari dengan tema Hari Wanita Antarabangsa iaitu 'Gender Equality Today For A Sustainable Tomorrow'. Tema ini juga disesuaikan dengan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara mampan dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif," katanya.

 

KPWKM mengajak orang ramai berkunjung ke KLCC bagi menyertai dan memeriahkan sambutan pada kali ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa.

 

Katanya, Hari Wanita disambut setiap tahun di Malaysia sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa wanita yang sangat signifikan dalam pembangunan negara.

KPWKM berkata, kerajaan mengiktiraf peranan signifikan wanita dalam pelbagai sektor pembangunan negara, dan sumbangan besar wanita yang mewakili 48.62 peratus populasi Malaysia tidak dapat dinafikan lebih-lebih lagi wanita adalah tulang belakang keluarga yang menjadi asas negara.

Katanya, berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2020 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pencapaian wanita amat membanggakan dalam sub-indeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.059 dan sub-indeks kesihatan dan kehidupan yang mencatatkan skor 0.956.

Bagi sub-indeks peluang dan penyertaan ekonomi, KPWKM berkata Malaysia mempunyai skor 0.738 manakala untuk sub-indeks Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB), skor negara masih rendah iaitu 55.3 peratus pada 2020 jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura pada 69.7 peratus dan Thailand pada 66.8 peratus.

Katanya, penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 0.100 yang menunjukkan masih jauh jurang pembabitan wanita dalam bidang politik.– BERNAMA