Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi - September 13, 2022 @ 10:54am
KUALA LUMPUR: Golongan ibu di beberapa negara termasuk Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina, semakin bijak menggunakan kemudahan internet apabila mereka sering membuat semakan terlebih dahulu sebelum membeli sesuatu barangan.
Digital Mum Survey (DMS) dilakukan oleh theAsianparent, iaitu platform kandungan dan komuniti terbesar di Asia Tenggara, melaporkan ibu bapa kini merangkumi 35 juta pengguna setiap bulan.
Seramai 3,014 ibu yang mengambil bahagian di dalam tinjauan dalam talian dikendalikan, pada tiga bulan pertama tahun ini.
Penganalisis Cerapan Pengguna Serantaunya, Jeremy Chang, berkata laporan tahun ini mendapati ibu membuat semakan bagi membantu mereka membuat keputusan sebelum membuat pembelian dalam talian.
"Tinjauan menunjukkan ibu membaca sekurang-kurangnya tiga artikel ketika membuat semakan ke atas sesuatu produk.
"Ibu di Malaysia membaca hampir seluruh artikel atau ulasan diikuti dengan Singapura, manakala di Thailand dan Indonesia membaca sejumlah artikel yang sama, manakala ibu di Filipina paling rendah membaca artikel produk," katanya.
Beliau berkata, laporan menunjukkan ibu sudah sebati dengan beberapa aplikasi media sosial dan menjadi selesa dengan pembelian dalam talian walaupun untuk barangan yang biasanya tidak dibeli secara fizikal.
Kategori barangan dibeli seperti peralatan rumah, perabot, produk bayi, kosmetik, penjagaan peribadi dan barangan elektronik menjadi item paling popular dibeli di laman e-dagang.
"Sebanyak 63 peratus ibu membeli pakaian bayi dalam talian; lampin pakai buang (54 peratus); keperluan penting penjagaan bayi seperti minyak, krim, dan syampu (53 peratus); aksesori kediaman seperti linen, kabinet, dan tilam (51 peratus); pakaian dewasa (45 peratus); produk penjagaan kulit (47 peratus) dan suplemen kesihatan (31 peratus)," katanya.
Luangkan masa di media sosial
Mengulas lanjut Jeremy berkata, pihaknya turut mendapati ibu menikmati sesi membaca tentang perkembangan semasa dan kisah peribadi di media sosial dengan topik nombor satu yang dicari adalah Tips Keibubapaan.
Katanya, ibu dari lima negara berkenaan dilihat memilih untuk membaca dan belajar daripada pengalaman ibu bapa lain.
"Ibu juga dilihat suka belajar lebih dan mendapat inspirasi daripada tips pendidikan atau fakta serta ucapan berinspirasi.
Mereka juga suka bergelak ketawa melihat lawak jenaka serta turut menggemari kandungan berkaitan dengan percutian, pertandingan dan hadiah percuma," katanya.
Katanya, tinjauan itu juga mendapati ibu meluangkan lebih masa dalam talian pada cuti hujung minggu, selain meluangkan lebih banyak masa di aplikasi media sosial dan televisyen dalam talian.
Katanya, ibu di Thailand meluangkan masa enam jam di dalam aplikasi media sosial dan dua jam untuk televisyen dalam talian.
"Ibu di Malaysia pula meluangkan masa beberapa jam di televisyen dalam talian tetapi menghabiskan 4.2 jam di dalam media sosial, manakala ibu di Filipina meluangkan 4.7 jam di dalam media sosial dan memakan masa lebih lama di televisyen dalam talian iaitu 2.1 jam.
"Golongan ibu di Singapura menghabiskan masa yang sama dan bilangan jam tertinggi di televisyen dalam talian seperti Filipina, tetapi meluangkan bilangan jam paling kurang di dalam media sosial iaitu 3.6 jam.
"Ibu di Indonesia pula masing-masing memperuntukkan 3.8 jam dan 1.5 jam menerusi aplikasi media sosial dan televisyen dalam talian," katanya.
Jeremy berkata, tinjauan itu tidak hanya membuktikan kebolehsuaian ibu dan pendekatan objektif mereka di dalam membuat pembelian atas talian.
Namun katanya, ia turut menunjukkan bagaimana pembelian dalam talian dan di stor fizikal boleh bekerja dengan harmoni di dalam kehidupan masyarakat yang sentiasa berubah sekarang ini.
"Ini dapat dilihat apabila semakin banyak jenama mula meningkatkan perkhidmatan mereka di sistem e-dagang dan pengalaman perkhidmatan pelanggan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan menerusi platform itu.
"Kami yakin selepas ini dapat melihat tingkah laku pengguna yang lebih dinamik terutamanya untuk ibu di seluruh Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina," katanya.