Sambutan Hari Wanita 2022 bertema 'Saksama Bersama' pada 6-8 Mac

Gambar hiasan
Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Sambutan Hari Wanita 2022 Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 6 hingga 8 Mac depan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), berkata sambutan kali ini akan membabitkan aktiviti pameran kerjaya dan peluang perniagaan yang memberi akses kepada wanita menjana pendapatan.

"Ia juga menjadi pusat setempat yang menggabungkan agensi kerajaan, sektor korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menawarkan perkhidmatan terus kepada rakyat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

KPWKM berkata 'Saksama Bersama' dipilih sebagai tema sambutan Hari Wanita 2022, untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama bagi memastikan potensi wanita dapat diupaya dan dioptimumkan demi menyediakan masa depan negara yang mampan.

"Ia juga selari dengan tema Hari Wanita Antarabangsa iaitu 'Gender Equality Today For A Sustainable Tomorrow'. Tema ini juga disesuaikan dengan konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan secara mampan dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif," katanya.

 

KPWKM mengajak orang ramai berkunjung ke KLCC bagi menyertai dan memeriahkan sambutan pada kali ini dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa.

 

Katanya, Hari Wanita disambut setiap tahun di Malaysia sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa wanita yang sangat signifikan dalam pembangunan negara.

KPWKM berkata, kerajaan mengiktiraf peranan signifikan wanita dalam pelbagai sektor pembangunan negara, dan sumbangan besar wanita yang mewakili 48.62 peratus populasi Malaysia tidak dapat dinafikan lebih-lebih lagi wanita adalah tulang belakang keluarga yang menjadi asas negara.

Katanya, berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2020 daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pencapaian wanita amat membanggakan dalam sub-indeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.059 dan sub-indeks kesihatan dan kehidupan yang mencatatkan skor 0.956.

Bagi sub-indeks peluang dan penyertaan ekonomi, KPWKM berkata Malaysia mempunyai skor 0.738 manakala untuk sub-indeks Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB), skor negara masih rendah iaitu 55.3 peratus pada 2020 jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura pada 69.7 peratus dan Thailand pada 66.8 peratus.

Katanya, penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 0.100 yang menunjukkan masih jauh jurang pembabitan wanita dalam bidang politik.– BERNAMA

Peluang sama rata bantu penggiat seni wanita

Kedudukan dan pencapaian wanita membanggakan dalam pelbagai aspek termasuk seni dan budaya. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Peredaran zaman digital dan moden banyak melahirkan wanita berjaya dalam pelbagai bidang termasuk dalam kerjaya hakiki atau pekerjaan bebas.

Ini adalah termasuk dalam bidang seni, yang yang memerlukan kemahiran seni menggunakan tangan seperti melukis, menjahit, membuat seramik masih dipelopori golongan wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA), Izan Satrina Mohd Sallehuddin, berkata wanita pada masa kini bukan hanya duduk di rumah dengan menjalankan aktiviti seperti memasak, membasuh dan mengemas, sebaliknya banyak membabitkan diri dalam pembangunan negara termasuk bidang seni.

 Katanya, populasi wanita dalam bidang seni kreatif setara dengan lelaki walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA), Izan Satrina Mohd Sallehuddin.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA), Izan Satrina Mohd Sallehuddin.

"Sebagai seorang anak, isteri dan ibu wanita mendukung banyak peranan serta cabaran apatah lagi apabila mereka juga bekerja untuk membantu keluarga walaupun ada sesetengah mempunyai pilihan untuk berkerja atau tidak.

"Ada yang bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup, ada juga bagi membantu keluarga dan tidak ketinggalan mengisi masa lapang dengan memperluaskan minat mereka seperti seni kreatif yang mempunyai pelbagai cabang," katanya.

Izan Satrina berkata, kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 atau 20 tahun lalu.

"Usaha mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi menjadikan wanita berperanan besar menggalas cabaran dalam era globalisasi dan terus menyokong pembangunan negara termasuk dalam bidang seni.

"Wanita perlu terus mengorak langkah mengharungi cabaran memastikan kehadiran dan perjuangan mereka disedari serta diiktiraf," katanya.

Beliau berkata, CENDANA sentiasa membuka peluang yang sama rata kepada wanita di dalam bidang seni dan budaya, tidak mengira bangsa atau agama.

Katanya, pihaknya juga terbuka kepada idea dan inisiatif baharu pelbagai pihak yang berusaha melestarikan kesenian serta kebudayaan tanah air.

"Kami membantu penggiat wanita di dalam bidang seni dan budaya. Sebagai contoh, penerima manfaat Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA), baru-baru ini terdapat juga wanita bergelar Adiguru CENDANA atas usaha mereka yang bertujuan menunjangi perkembangan serta memastikan kesinambungan bentuk kesenian tradisional Malaysia.

"Selain itu, mereka juga berperanan memberi kesedaran dan menggalakkan pemindahan pengetahuan serta kerja pendokumentasian.

"Adiguru wanita yang diiktiraf kami adalah Adiguru, Zamzuriah Zahari bagi Tarian Mek Mulung dan Che Siti Dollah bagi tarian Mak Yong serta Alena Murang untuk muzik Independen dan Seni Visual, Red Hong Yi," katanya.

Izan Satrina berkata, pihaknya berharap dengan pengiktirafan dan bantuan program PRISMA, mereka dapat menjalankan lebih banyak lagi aktiviti tarian serta membawa tarian tradisional ke mata dunia.

KUALA LUMPUR: Hanya 10 peratus daripada 5,260 kes keganasan rumah tangga membabitkan wanita yang mendapat khidmat guaman bagi tujuan menyelesaikan kes berkenaan.

Penasihat Kehormat Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Sharifah Shawati Syed Mohd, berkata jumlah peratusan direkodkan pada tahun lalu itu adalah disebabkan ramai wanita tidak tahu hak mereka, selain buntu apabila berhadapan dengan situasi itu.

Katanya, peningkatan kes keganasan membabitkan wanita ketika pandemik COVID-19 sangat membimbangkan.

"Ramai wanita menjadi mangsa keganasan seperti penderaan fizikal, mental dan emosi.

"Ada juga antara tidak tahu hak mereka dan bagaimana untuk mendapatkan pembelaan yang sewajarnya melalui institusi perundangan.

"Malah, mereka takut untuk membawa perkara ini ke pengadilan disebabkan tidak mampu membiayai yuran guaman yang mencecah ribuan ringgit bagi setiap kes," katanya pada pelancaran Kempen Care 2gether Moelife #kamipeduli, baru-baru ini.

Kempen selama tiga bulan bermula 1 September lalu itu adalah inisiatif sebuah jenama kesihatan, dengan kerjasama KWIM bagi membantu wanita khususnya golongan B40 membiayai yuran guaman syariah untuk menfailkan tuntutan hak mereka di mahkamah syariah.

Kes keganasan rumah tangga amat diberi perhatian serius pelbagai pihak khususnya kerajaan menyarankan mangsa membuat aduan.

Antaranya laporan boleh dibuat menerusi talian 15999 atau menerusi WhatsApp 019 2615999 untuk tindakan lanjut.

Presiden KWIM, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed, berkata kerjasama pihaknya dalam kempen itu juga bertujuan untuk melindungi wanita mengalami masalah rumah tangga melalui teras undang-undang supaya hak mereka yang teraniaya dapat ditegakkan sekali gus melindungi institusi kekeluargaan.

"Penderaan ini bukan bermaksud untuk fizikal sahaja, tetapi turut membabitkan mental. Jangan terkejut KWIM pernah menerima kes isteri mengalami tekanan emosi disebabkan suami kerap bermain permainan video.

"KWIM menasihati mereka terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu keputusan. Kalau tidak boleh diselesaikan baru kita akan bawa perkara ini ke muka pengadilan dengan bantuan peguam," katanya.

Pengasas Moelife, Muhamad Abdullah Al Amin, berkata bagi isteri yang dizalimi, mereka mempunyai hak yang boleh dituntut mengikut teras undang-undang.

"Kempen ini untuk membantu wanita yang mempunyai masalah rumah tangga bagi mendapatkan khidmat bantuan guaman di samping mempertahankan hak mereka dan perlindungan mengikut undang-undang sedia ada.

"Dengan berkonsepkan membeli dan membantu, pembeli akan mendapat poskad #kamipeduli sebagai tanda sokongan kepada kempen ini," katanya.

Bazar Wanita

Program Bazar Wanita telah dilancarkan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara pada 14 Disember 2012 di ruang niaga Pasar Tani, Presint 2 Putrajaya.

Objektif

Bazar Wanita ini diwujudkan untuk menyediakan peluang perniagaan kepada usahawan wanita berpendapatan rendah bagi menjana pendapatan mereka sendiri di pasar-pasar tani, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh Malaysia. Sehingga Disember 2017, Bazar Wanita 1Malaysia telah diwujudkan di 14 negeri dengan penyertaan seramai 320 usahawan wanita.

Kumpulan Sasar

Keutamaan bagi menyertai program ini adalah kepada ibu tunggal dan usahawan wanita yang berpendapatan rendah.  Usahawan wanita yang menyertai Bazar Wanita adalah dalam kalangan wanita yang mempunyai minat dan kesungguhan dalam bidang perniagaan.

Kemaskini : Nov 14, 2019 @ 9:02 am