Peluang sama rata bantu penggiat seni wanita
KUALA LUMPUR: Peredaran zaman digital dan moden banyak melahirkan wanita berjaya dalam pelbagai bidang termasuk dalam kerjaya hakiki atau pekerjaan bebas.
Ini adalah termasuk dalam bidang seni, yang yang memerlukan kemahiran seni menggunakan tangan seperti melukis, menjahit, membuat seramik masih dipelopori golongan wanita.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA), Izan Satrina Mohd Sallehuddin, berkata wanita pada masa kini bukan hanya duduk di rumah dengan menjalankan aktiviti seperti memasak, membasuh dan mengemas, sebaliknya banyak membabitkan diri dalam pembangunan negara termasuk bidang seni.
"Sebagai seorang anak, isteri dan ibu wanita mendukung banyak peranan serta cabaran apatah lagi apabila mereka juga bekerja untuk membantu keluarga walaupun ada sesetengah mempunyai pilihan untuk berkerja atau tidak.
"Ada yang bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup, ada juga bagi membantu keluarga dan tidak ketinggalan mengisi masa lapang dengan memperluaskan minat mereka seperti seni kreatif yang mempunyai pelbagai cabang," katanya.
Izan Satrina berkata, kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 atau 20 tahun lalu.
"Usaha mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi menjadikan wanita berperanan besar menggalas cabaran dalam era globalisasi dan terus menyokong pembangunan negara termasuk dalam bidang seni.
"Wanita perlu terus mengorak langkah mengharungi cabaran memastikan kehadiran dan perjuangan mereka disedari serta diiktiraf," katanya.
Beliau berkata, CENDANA sentiasa membuka peluang yang sama rata kepada wanita di dalam bidang seni dan budaya, tidak mengira bangsa atau agama.
Katanya, pihaknya juga terbuka kepada idea dan inisiatif baharu pelbagai pihak yang berusaha melestarikan kesenian serta kebudayaan tanah air.
"Kami membantu penggiat wanita di dalam bidang seni dan budaya. Sebagai contoh, penerima manfaat Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA), baru-baru ini terdapat juga wanita bergelar Adiguru CENDANA atas usaha mereka yang bertujuan menunjangi perkembangan serta memastikan kesinambungan bentuk kesenian tradisional Malaysia.
"Selain itu, mereka juga berperanan memberi kesedaran dan menggalakkan pemindahan pengetahuan serta kerja pendokumentasian.
"Adiguru wanita yang diiktiraf kami adalah Adiguru, Zamzuriah Zahari bagi Tarian Mek Mulung dan Che Siti Dollah bagi tarian Mak Yong serta Alena Murang untuk muzik Independen dan Seni Visual, Red Hong Yi," katanya.
Izan Satrina berkata, pihaknya berharap dengan pengiktirafan dan bantuan program PRISMA, mereka dapat menjalankan lebih banyak lagi aktiviti tarian serta membawa tarian tradisional ke mata dunia.