Pelaksanaan mantap dan tindakan pantas serta cepat terhadap perancangan yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) akan menjadi tunjang utama untuk melonjakkan sistem pendidikan negara.  Gerakan ini akan dilakukan secara besar-besaran bagi memastikan semua pihak terutama Timbalan Ketua Pengarah (TKP), Pengarah Bahagian di Kementerian Pendidikan, semua Pengarah Pendidikan Negeri dan Pegawai Pendidikan Daerah dapat bersatu hati dan jiwa melaksanakan inisiatif yang sudah digariskan.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof mengatakan penekanan terhadap pelaksanaan mantap akan memberikan tumpuan terhadap tiga perkara iaitu adanya pemantapan rapi, penekanan kepada fungsi pengawalan pengurus dan pelaksana serta penjajaran inisiatif  PPPM dengan KPI Menteri. Ketua Pengarah Pendidikan mengatakan tumpuan kedua adalah menekankan aspek fungsi pengawalan oleh setiap pengurus, pengarah dan pelaksana apabila setiap mereka mesti mempunyai kawalan penuh terhadap program dan inisiatif  yang telah dipertanggungjawabkan. Sementara itu tumpuan ketiga bagi memastikan setiap pencapaian dalam inisiatif dan program yang dirancang dalam PPPM sentiasa sejajar dengan sasaran yang disediakan.

Beberapa penambahbaikan juga akan dilaksanakan sepanjang 2014 bagi memastikan kelangsungan  PPPM  termasuk melaksanakan  program turun padang supaya semua pihak terutama warga pendidik memahami perancangan dan perubahan yang akan dilakukan sekali gus memastikan transformasi berjalan lancar.

Dr Khair mengatakan kesungguhan kerajaan menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada semua kanak-kanak di negara ini jelas melalui peruntukan Bajet 2014 apabila 21 peratus atau RM54 bilion daripada jumlah keseluruhan RM264 bilion bajet diperuntukkan kepada pendidikan. Sepanjang 2013 banyak program sudah dilaksanakan selain daripada program sedia ada malah ada inisiatif yang boleh diperluaskan lagi bagi memberi akses pendidikan berkualiti.

Sumber maklumat : Harian metro

 

Isu hangat kebelakangan ini mengenai makanan kantin tidak sihat membuat ibu bapa rgu-ragu dengan jenis makanan yang di jual di kantin sekolah anak-anak mereka. Bagaimanakah ibu bapa boleh mengajar anak-anak mereka untuk memilih makanan yang sesuai dan lebih berkhasiat apabila membeli snek pada waktu rehat di kantin sekolah mereka?.
Makanan snek yang diambil oleh anak-anak pada waktu rehat di sekolah bukanlah untuk menggantikan sarapan atau makan tengah hari. Snek yang berkhasiat boleh membantu mengenyangkan mereka sehingga waktu makan tengah hari dan paling penting memberi mereka tenaga yang diperlukan untuk belajar dan melakukan aktiviti di sekolah. 
Untuk mengajar anak-anak anda bagaimana memilih snek yang lebih sihat, anda mungkin perlu mengunjungi kantin sekolah bersama anak anda dan membantunya memilih jenis makanan yang betul. Ikut petua-petua berikut, khususnya jenis makanan yang patut diambil secara lebih kerap sesekali dan seboleh-bolehnya dielakkan sama sekali.

1. Galakkan anak-anak anda lebih kerap mengambil makanan ini :
Snek yang kurang berminyak dan kurang manis, tetapi membekalkan nutrien yang  berguna seperti sandwich dengan inti telur, ayam, sardin atau tuna,kuih apam, pau kukus atau mihun sup dengan sayuran dan daging. Buah-buahan seperti pisang, jambu batu dan epal merupakan pilihan yang baik. 
Minuman  yang kurang manis dan berkhasiat juga boleh diambil. Antaranya adalah susu (termasuk yang berperisa), susu kacang soya, jus buah-buahan segar dan minuman yogurt
2. Ajar anak-anak anda supaya mengambil makanan ini sekali-skala(hadkan kepada 1-2 kali seminggu):
Nasi lemak, nasi goreng atau mi/mihun/kuihteow goreng, mi kari. Makanan ini boleh diambil sesekali kerana ianya membekalkan beberapa nutrien penting tetapi mengandungi lemak yang tinggi . Nasihatkan anak anda supaya makan hidangan kecil sahaja(atau separuh). 
3. Ajar anak-anak supaya mengurangkan pengambilan snek ini (tidak lebih daripada sekali seminggu)
Makanan yang berminyak mengandungi banyak lemak dan garam seperti pisang goreng, burger, sosej, nuget goreng dan kentang goreng.
Makanan dan minuman manis dan mengandungi banyak gula seperti air sirap, kordial buah-buahan, minuman berkarbonat , gula-gula dan kuih muih manis.
Makanan yang mengandungi banyak garam dan perisa, seperti kerepek/keropok dan snek dengan perasa tiruan. 
Akhir sekali ingatkan anak-anak anda supaya sentiasa memastikan makanan yang mereka pilih adalah segar dan bersih dan jangan membeli makanan yang tidak ditutup dengan betul. Jika anda rasa kantin sekolah anak-anak anda tidak menyediakan makanan yang sihat, anda boleh berbincang dengan pihak sekolah semasa mesyuarat PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) tentang cara-cara kantin sekolah boleh membaiki perkhidmatan dengan menyediakan pilihan makanan yang lebih sihat. Jika anda khuatir anak-anak anda tidak mendapat makanan yang berkhasiat dari kantin sekolah mereka, anda juga boleh membekalkan snek dari rumah untuk dimakan pada waktu rehat. Dengan cara ini anda boleh pastikan anak-anak anda mendapat segala nutrien penting yang diperlukan untuk menyokong gaya hidupnya yang aktif. 
 

Sumber maklumat : Harian Metro

Ibu bapa pasti akan gembira apabila anak pulang dengan keputusan peperiksaan cemerlang dan rajin mengulang kaji pelajaran . Namun melahirkan anak yang bersikap begitu adalah sukar tapi tidak mustahil. Yang penting kita perlu tahu cara betul mendisiplinkan anak, tegas, dan mesra dalam pendekatan, sabar dalam membimbing dan istiqamah. Ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum kita lihat sikap rajin belajar itu mula berputik dan menjadi tabiat mereka.

Berikut adalah perkara yang perlu kita lakukan:


1. Sediakan keperluan anak belajar secukupnya. Sebagai ibu bapa keperluan seperti buku tulis, buku tambahan, soalan-soalan peperiksaan tahun lalu, pen, pensil dan pemadam perlu diperhatikan dan disediakan. Oleh itu sentiasa semak keperluan belajar anak dan pastikan ia lengkap.

2. Semak beg anak-anak kita dari masa ke semasa. Kenapa perlu? Sebab apabila kita semak tahulah kita selama ini anak-anak siap kerja sekolahnya atau tidak. Mungkin juga ada surat-surat penting daripada pihak sekolah. Ada juga kita menemui sesuatu yang tidak kita sangka. Dengan menyemak beg anak kita memastikan anak-anak tidak hilang fokus terhadap pelajarannya .

3. Sentiasa letak jangkaan bahawa anak boleh berjaya. Ramai ibu bapa yang memandang rendah kebolehan anak-anak mereka. Ada yang tidak membelikan buku –buku tambahan, ada yang menolak dari memasukkan anak ke program motivasi dan ada yang merasakan anak mereka bukan boleh cemerlang dalam pelajaran. Sikap ibu bapa begini pasti merugikan. Anak-anak yang cemerlang lahir daripada ibu bapa yang sentiasa mencari ruang dan peluang meningkat kan prestasi pelajaran mereka.

4. Peraturan dibuat bersama. Apabila ibu bapa mahu menetapkan waktu belajar, bermain dan rehat cuba babitkan anak-anak. Minta pandangan dan persetujuan mereka. Peraturan yang dibuat bersama lebih mudah diikuti dan dipatuhi berbanding yang datang sepenuhnya dari ibu bapa sendiri.

 

                                                                         rajin belajar

5. Nyatakan ganjaran dengan jelas. Memberikan ganjaran setiap kali anak-anak berjaya mendapat markah atau kedudukan yang baik dalam peperiksaan dapat mendorong mereka belajar. Ibu bapa perlu bijak memikirkan apakah bentuk ganjaran disukai anak dan mampu membuatkan mereka bersemangat.

6. Cari peluang memuji anak. Cuba kita menjadi lebih sensitif dan prihatin terhadap tingkah laku anak. Apabila kita benar-benar memerhatikannya pasti ada banyak peluang bagi kita memuji secara positif. Puji anak ketika dia lakukan sesuatu yang betul. Puji juga anak apabila dia menunjukkan peningkatan dalam pencapaiannya. Dengan memuji maka anak tahu apa yang kita suka dan akan berusaha mengulangi tingkah laku atau perbuatan itu pada lain masa.

7. Masukkan dia ke program motivasi . Ibu bapa usah terlalu berkira-kira mengeluarkan sedikit pelaburan bagi merangsang anak belajar. Ada ketikanya mereka mahu belajar tapi tidak tahu cara, tidak tahu di mana mahu bermula, merasakan terlalu banyak perlu dibaca, sukar untuk menghafal dan mengingat, kerap hilang fokus atau mengantuk . Semua masalah ini boleh diatasi apabila mereka hadir ke program Motivasi Pelajar.

8. Berikan anak-anak pemakanan yang merangsang minda. Anak-anak perlukan pemakanan tambahan bagi menambah tenaga dan mencerdaskan otak.


Sumber maklumat : Harian Metro

Permohonan Tahun 1 Ambilan 2018/2019

Maklumat mengenai permohonan kemasukan Tahun 1 ambilan 2018/2019 adalah seperti berikut:

1) Permohonan melalui Sistem Pendaftaran Atas Talian (SPAT) KPM - hanya untuk seluruh negeri di Semenanjung Malaysia sahaja. Manakala bagi Negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, permohonan adalah secara manual melalui sekolah.  

Dibuka mulai 1 Mac 2017 hingga 30 April 2017

Hanya ibu/bapa/penjaga sahaja yang dibenarkan membuat permohonan bagi murid tersebut

Layari https://public.moe.gov.my/ untuk akses ke sistem permohonan dalam talian bagi pengguna berdaftar. Manakala bagi pengguna baharu, sila layari https://public.moe.gov.my/?kpm=daftarpenggunauntuk pendaftaran pengguna baharu.

Kemasukan Tahun 2018 adalah bagi kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2011 hingga 1 Januari 2012.

Kemasukan Tahun 2019 adalah bagi kanak-kanak yang lahir pada 2 Januari 2012 hingga 1 Januari 2013.

2) Permohonan secara manual melalui sekolah.

IBU BAPA, GURU KENA KERJASAMA DIDIK ANAK

Persepsi bahawa beban mendidik anak terletak sepenuhnya kepada guru dan sekolah perlu diubah. Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, soal pendidikan anak khususnya yang berkaitan dengan aspek membaca, menulis, mengira dan menaakul, memerlukan penggemblengan ibu bapa dan guru dalam usaha menghasilkan pelajar yang berkualiti pada masa depan.

Ini bermaksud ibu bapa juga perlu mengambil tahu soal pembelajaran, kebolehan, disiplin serta kemajuan anak masing-masing dengan komunikasi rapat dengan guru dan pentadbiran sekolah. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Operasi Pendidikan, Datuk Sufa’at Tumin mengatakan sejajar dengan peningkatan akademik ibu bapa, tanggungjawab mendidik anak bukan lagi tanggungjawab guru sepenuhnya tetapi turut membabitkan ibu bapa dan komuniti setempat termasuk syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi bukan kerajaan (NGO) 

tabika

Kementerian Pendidikan baru-baru ini melancarkan inisiatif Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta secara meluas, di mana Sarana Ibu Bapa dan Saran Sekolah merupakan alat bagi membolehkan pencapaian inisiatif ini.  Pelaksanaan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah dapat mengukuh dan meluaskan lagi penglibatan Ibu bapa Komuniti dan sektor swasta ke arah pencapaian aspirasi murid.

Sarana Ibu bapa adalah satu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan anak dalam pembelajaran di rumah dan sekolah. Sarana ibu bapa merangkumi empat elemen meliputi penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

pengajian-anak-anak

Sarana Sekolah pula merangkumi enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, keputusan, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa menerusi PIBG. Inisiatif itu membabitkan kepentingan dan masa depan lebih 5.03juta murid di lebih 10,000 sekolah menegah dan rendah di seluruh negara dengan anggaran murid yang terbabit bagi tempoh 13 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang.  

Ibu bapa juga diminta melibatkan diri di sekolah secara aktif dan boleh memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk termasuk idea, tenaga, kepakaran dan kewangan .PIBG diminta untuk menubuhkan biro Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) yang dapat merapatkan hubungan antara ibu bapa, murid dan sekolah. Melalui KSIB lebih banyak interaksi , perkongsian dan percambahan ilmu dapat berlaku demi mewujudkan hubungan yang  bermakna anak ibu bapa dan anak.

 

Sumber maklumat : Berita Harian