Sultan-Abdullah-Al-Mu’tassim-Billah

                                                                                             Sultan Abdullah Al-Mu’tassim Billah

 

1917-1932
Duli Yang Maha Mulia
Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah
Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah
  • Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah diputerakan pada malam Khamis, 25 Syawal 1296 bersamaan 12 Oktober 1874, di istana ayahandanya dan bondanya Cik Su'ma di Pekan Lama. Baginda merupakan putera yang kelima Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Bendahara Ali.
  • Baginda telah dilantik menaiki takhta kerajaan Negeri Pahang setelah kemangkatan kekanda Baginda iaitu Sultan Mahmud. Baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah pada bulan Mei 1919, di Balairung Seri Istana Seri Terentang, Pekan dengan penuh istiadat.
  • Baginda juga amat meminati seni dan budaya di mana semasa pemerintahan Baginda, kegiatan seni dan budaya seperti joget dan gamelan sangat giat diadakan. Kegiatan sukan dan permainan tradisional Melayu juga sering diadakan seperti lumba perahu, menuba, memburu dan silat.
  • Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah telah mangkat di Istana Kuning pada 22 Jun 1932 di hadapan sekalian putera-puteri, saudara-mara dan Orang-Orang Besar Negeri. Al-Marhum Baginda dimakamkan di Makam Diraja Kampung Marhum, Kuala Pahang. Sebelum Al-Marhum Baginda dimakamkan, Yang Dipertua Adat Istiadat Negeri Pahang telah mengisytiharkan perlantikan putera Baginda, Tengku Abu Bakar iaitu Tengku Mahkota Pahang dilantik sebagai Sultan. Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah mangkat dengan meninggalkan tiga orang isteri iaitu Che Endut, Che Kalsum bt Abdullah dan Che Wan Chantik bt Wan Mohd Amin dengan sepuluh orang putera dan tujuh orang puteri.

 

 

 

Sumber daripada Portal Kesultanan Pahang
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang

 

                                                                                        raja

  1. 1882-1914
    Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah
    Ibni Al-Marhum Bendahara Ali
    • Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah ialah anakanda kepada Bendahara Ali dengan Che Long, juga dikenali sebagai Che Lingga. Bendahara Ali adalah pemerintah Negeri Pahang bagi tahun 1806 hingga 1857.Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah diputerakan pada 23 Mei 1836 bersamaan 5 Muharram 1252 H, di istana ayahandanya di Pulau Maulana, Pekan. Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah merupakan putera yang kelima dari sebelas saudara. Baginda telah diisytiharkan menjadi Sultan pada 16 Ogos 1882.Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah mangkat pada 9 Mei 1914, setelah memerintah selama lebih kurang lima puluh tahun penuh daulat di atas takhta singgahsana kerajaan Negeri Pahang. Baginda mangkat dengan meninggalkan beberapa orang isteri, putera dan puteri, dan telah dimakamkan di Makam Diraja di Kampung Marhum, Kuala Pahang pada 11 Mei 1914.

     

    Sumber daripada Portal Kesultanan Pahang
    Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang

Pahang adalah negeri yang terletak di bahagian tengah membawa ke timur Semenanjung Tanah Melayu. Ia bersempadan dengan Laut China Selatan di timur, negeri Kelantan dan Terengganu di utara, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan di barat, dan Johor di selatannya.

Pahang merupakan negeri yang terbesar dengan gunung tertinggi dan sungai terpanjang di bahagian Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia), merupakan negeri yang tertua selepas Patani (sekarang dalam wilayah Thailand), iaitu lebih tua dari Melaka. Di zaman silam, kerajaannya meliputi hujung tanah hingga ke Singapura. Rajanya juga mempunyai talian persaudaraan melalui perkahwinan dengan Parameswara, iaitu Raja yang pertama membuka Melaka.

Walaupun kerajaan di negeri Pahang telah lama wujud, namun corak pemerintahan Kesultanan Melayu Islam di negeri Pahang wujud selepas terbentuknya Kerajaan Islam di Melaka. Sultan Pahang yang pertama adalah putera kepada Sultan Mansur Shah, Melaka (c.1470 M).

Sumber daripada YDH. Orang Kaya Indera Pahlawan
Dato' Sri Wan Haji Abdul Wahid Bin Haji Wan Hassan
SSAP.,SIMP.,DSAP.,SAP.,JSM.,AMP

Asal Usul Sejarah Kesultanan Pahang

Sejarah Negeri Pahang bermula sebelum didirikan kerajaan Melayu Melaka, wilayah bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu semuanya termasuk dalam kawasan kerajaan Pahang. Orang Jawa Majapahit zaman dahulu menyebut Semenanjung Tanah Melayu sebagai Pahang sahaja. Pada awal kurun Masihi ke 16, pada permulaan terdirinya kerajaan Melayu Johor, sempadan Negeri Pahang Darul Makmur; di sebelahnya sampai ke Sedili Besar dan di utara sampai ke Terengganu; sempadan ke baratnya pula sampai ke Rembau, Selangor dan Perak. Negeri Pahang Darul Makmur sekarang ini di sebelah utara dan baratnya dilingkungi oleh banjaran gunung dan di sebelah timurnya terbentang Laut China Selatan.

Negeri Pahang Darul Makmur ialah sebuah negeri yang terbesar di Semenanjung Tanah Melayu dengan keluasan 35,515 kilometer persegi. Kemasyhuran dan kehebatan namanya pada masa dahulu menjadi rebutan kerajaan yang ada di sekelilingnya. Pada masa ini Pahang adalah negeri di Semenanjung dengan terbahagi kepada sebelas daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Temerloh, Jerantut, Bentong, Raub, Lipis, Cameron Highlands dan Bera. Manakala penduduknya pula terdiri dari berbagai kaum dan bangsa.

Kemasyuran dan kehebatan namanya itu pada masa dahulu, menjadi rebutan kerajaan sekeliling. Menurut kajian oleh ahli-ahli sejarah, terdapat banyak bekas-bekas lama yang membuktikan kepandaian orang yang telah membuka negeri ini. Pada zaman dahulu, pemerintah Pahang pernah mengadakan hubungan dan menghantar ufti bunga emas ke Negara China.

Menurut riwayat tua, pemerintahan negeri ini dijalankan dengan cara pemerintahan beraja. Keturunan raja-raja Melaka adalah yang paling lama berkuasa di Pahang iaitu selama lebih 200 tahun bermula daripada Sultan Muhammad Shah (1469-1475) hingga kepada Sultan Mahmud Shah yang termasyur di dalam sejarah “Al Marhum Mangkat Dijulang” pada tahun 1699.

Sebagaimana yang terkandung dalam sejarah Pahang iaitu dalam tahun 1454, Mansur Syah, putera kepada Sultan Muzaffar Melaka telah menghantar satu pasukan perang diketuai oleh Bendahara Paduka Raja melanggar Pahang. Maharaja Dewa Sura, pemerintah Siam di Pura (Pekan) melarikan diri ke Ulu Pahang. Ia ditawan oleh Seri Bija Diraja di sebuah jeram yang dikenali sekarang dengan nama Jeram Koi, Ulu Tembeling.

“Maka datang sekarang ini jeram itu dinamai orang Jeram Kwai. Maka segala orang Melaka pun datang, maka Maharaja Dewa Sura pun tiada sempat lari berperahu. Maka oleh Seri Bija Diraja disuruh orang naik mengepung Maharaja Dewa Sura itu. Maka Maharaja Dewa Sura pun ditangkap orang, dibawa kepada Seri Bija Diraja.

(Shellabear (ed),1977: hal 74-75)

Maharaja Dewa Sura dan Puterinya Wanang Seri dibawa ke Melaka. Puteri Wanang Seri di Islamkan dan diberi nama Puteri Lela Wangsa yang kemudiannya dikahwinkan dengan Sultan Mansur Syah. Mereka mendapat dua orang putera, Raja Ahmad dan Raja Muhammad.

Pada suatu hari, sedang beberapa orang pemuda bermain sepak raga, Raja Muhammad yang berumur lebih kurang 15 tahun sedang menunggang kuda dikawasan berhampiran. Bola sepak raga yang disepak Tun Besar, anak kepada Bendahara, telah jatuh ke atas dastar Raja Muhammad. Tanpa usul periksa, Rja Muahammad terus menghunus kerisnya, lalu membunuh Tun Besar.

Sultan Mansur Syah amat murka di atas apa yang telah dilakukan oleh putera baginda. Atas sebab itu, baginda telah menghantar Raja Muhammad sebagai Raja di Pahang. Raja Muhammad ditabal sebagai Sultan Muhammad lebih kurang dalam tahun 1470 dan mangkat pada tahun 1475.

Setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah, maka berakhirnya pemerintahan raja Melaka. Kemudian, Pahang diperintah pula oleh Sultan dari Kerajaan Johor- Riau pada tahun 1615 dengan perlantikan Raja Bujang sebagai Sultan Johor Pahang di bawah penguasaan Acheh. Tahun 1641, penguasaan Acheh atas Pahang berakhir setelah Sultan Iskandar Thani mangkat.

Tampuk pemerintahan Pahang kemudiannya beralih pula kepada pemerintahan Bendahara. Pemerintahan Bendahara bermula dengan keturunan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan berakhir apabila Bendahara Tun (Wan) Ahmad Ibni Almarhum Sultan Ali diisytihar sebagai Sultan. Keturunan Bendahara berjaya menjadi Sultan akhirnya adalah akibat daripada pepecahan semasa pemerintahan Bendahara Ali,di mana kerajaan Johor-Pahang mulai berpecah antara Orang Besar Melayu dan Orang Besar Bugis serta kewujudan kuasa Ingeeris- Belanda di Kepulauan Melayu. Justeru kerana itu, Bendahara Ali menguatkan kedudukannya di Pahang sebagai pemerintah pada tahun 1819 dan Temenggong pula berkuasa di Johor.

Bendahara Tun (Wan) Ali yang menggantikan ayahandanya Marhum Korish dalam tahun 1806 telah mangkat dalam tahun 1857 di Kampung Lamir, Pahang Tua. Puteranya Tun Ahmad bersemayam di Pulau Maulana. Tidak berapa lama selepas itu berlakulah perbalahan antara Tun Ahmad dengan Tun Mutakhir, kekandanya. Perang itu dikenali sebagai “Perang Saudara”. Tun Ahmad akhirnya berjaya menewaskan kekandanya apabila hulubalang-hulubalangnya di bawah pimpinan Panglima Kakap Bahaman telah menewaskan kubu Tun Mutakhir. Tun Ahmad diisytihar sebagai Bendahara dan berpindah dari Pulau Maulana ke Kuala Sungai Parit dan kini dikenali denagan Kampung Padang Polo.

Pada tahun 1881, jurutulis kepada Bendahara Ahmad, Encik Abdullah b. Hasssn yang dikenali sebagai Encik Dollah Tulis dengan persetujuan Bendahara, telah meminda cap iaitu daripada “Bendahara” kepada “Sultan”. Atas sebab itu, pada 6hb Ogos 1882, Tun Ahmad diisytihar sebagai Sultan Ahmad. Manakala pada 12hb Disember 1884, Sultan Ahmad telah ditabalkan sebagai Sultan Ahmad al- Muadzam Shah. Dari tarikh itu juga anakanda-anakanda baginda dinaiktaraf kepada Tengku manakala isteri baginda, Cik Puan Bongsu kepada Tengku Ampuan.

Apabila Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah mangkat pada 9hb Mei 1914, Yang Mulia Tengku Besar diistiharkan sebagai Sultan. Baginda pula mangkat di Kuala Pahang pada malam Selasa 19hb Jun 1917 tempatnya diganti oleh adinda baginda Yang Mulia Tengku Abdullah yang kemudiannya ditabal dengan gelaran Al- Mu’tasim Billah Al-Sultan Abdullah.

Baginda Sultan Abdullah dikurniajkan beberapa orang putera dan puteri. Antaranya ialah Yang Muli Tengku Abu Bakar. Dalam tahun 1925, Tengku Abu Bakar dikahwinkan dengan Raja Fatimah, puteri kepada Sultan Alang Iskandar Shah, Perak. Tidak berapa lama selepas perkahwinan Diraja itu dilangsungkan, Sultan Alang Iskandar Shah telah berunding dengan Sultan Abdullah untuk mendapatkan persetujuan kerajaan Inggeris supaya Sultan Abu Bakar dilantik sebagai ‘ganti raja’ menggantikan keputusan yang diambil semasa Yang Mulia Tengku Mahmud diisytiharkan sebagai Tengku Besar .

Setelah beberapa lama , dengan sokongan Pesuruhjaya Tinggi Sir Hugh Clifford, kerajaan Inggeris telah bersetuju supaya Putera Sulung Sultan yang memerintah di lantik sebagai ‘pengganti raja’ dengan gelaran Tengku Mahkota. Maka pada 10hb Jun 1930, Yang Mulia Tengku Abu Bakar telah ditabal sebagai Tengku Mahkota Pahang. Dengan usaha Pesuruhjaya Tinngi C. Clement, kerajaan Inggeris telah bersetuju agar putera Sultan yang kedua dilantik sebagai ‘Tengku Bendahara’ dan putera ketiga sebagai ‘Tengku Temenggung’.

Baginda Sultan Abdullah mangkat pada pukul 8.25 malam Rabu. 22hb Jun 1932. sebelum jenazah Almarhum meninggalkan Istana Kuning, Yang Teramat Mulia Tengku Abu Bakar telah diisytihar sebagai Sultan Pahang. Baginda ditabal dengan gelaran Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al- Muadzam Shah pada hari Ahad, 28hb Mei 1933. Baginda Sultan Abu Bakar mangkat pada pukul 12.45 pagi, Ahad 5hb Mei, 1974 setelah 42 tahun berada di atas takhta kerajaan negeri Pahang.

Maka dengan itu, Yang Teramat Mulia Tengku Haji Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar telah diisytiharkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang pada 7hb Mei 1974 sehingga ke hari ini. Jadual dibawah menunjukkan pemerintahan sultan di negeri Pahang.

tag