Pahang adalah negeri yang terletak di bahagian tengah membawa ke timur Semenanjung Tanah Melayu. Ia bersempadan dengan Laut China Selatan di timur, negeri Kelantan dan Terengganu di utara, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan di barat, dan Johor di selatannya.

Pahang merupakan negeri yang terbesar dengan gunung tertinggi dan sungai terpanjang di bahagian Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia), merupakan negeri yang tertua selepas Patani (sekarang dalam wilayah Thailand), iaitu lebih tua dari Melaka. Di zaman silam, kerajaannya meliputi hujung tanah hingga ke Singapura. Rajanya juga mempunyai talian persaudaraan melalui perkahwinan dengan Parameswara, iaitu Raja yang pertama membuka Melaka.

Walaupun kerajaan di negeri Pahang telah lama wujud, namun corak pemerintahan Kesultanan Melayu Islam di negeri Pahang wujud selepas terbentuknya Kerajaan Islam di Melaka. Sultan Pahang yang pertama adalah putera kepada Sultan Mansur Shah, Melaka (c.1470 M).