BANTUAN KUMPULAN WANG AMANAH PELAJAR MISKIN (KWAPM)

JENIS BANTUAN:

  • Bantuan Khusus

PENGENALAN :

  • Pada awal pelaksanaan KWAPM tahun 2003, Kerajaan telah bersetuju untuk memberi bantuan kepada murid darjah satu (1) hingga darjah enam (6) di sekolah rendah (SR) dan Tingkatan Satu (1) di sekolah menengah (SM) yang layak meliputi bantuan yuran persekolahan/peperiksaan, pakaian seragam sekolah, peralatan sekolah, bantuan persekolahan serta bantuan latihan dan bimbingan. Terdapat tiga (3) jenis bantuan yang diberikan kepada murid iaitu :
    • Bantuan Am Persekolahan (BAP) (dahulu dikenali sebagai Bantuan Persekolahan) diberikan kepada murid melalui kaedah dikredit terus ke akaun murid atau pemberian dalam bentuk wang tunai atau bukan tunai (pakaian seragam sekolah, peralatan sekolah dan keperluan-keperluan lain persekolahan murid) ;
    • Bantuan Bulanan (BB) (dahulu dikenali sebagai Bantuan Am) diberikan kepada murid melalui kaedah dikreditkan terus ke akaun murid secara bulanan atau sekaligus (lump sum) ; dan
    • Bantuan Kecemasan (BK) dibayar kepada murid yang layak pada kadar bayaran BAP yang berkuat kuasa pada tahun semasa.
  • Tabung KWAPM telah ditubuhkan di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 berdasarkan Surat Ikatan Amanah yang telah diluluskan oleh Perbendaharaan pada 10 April 2003. Ia bertujuan memberi bantuan kepada pelajar miskin supaya tidak tercicir dalam meneruskan persekolahan selaras dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib yang berkuatkuasa pada Januari 2003. Selaras dengan perubahan dasar pengurusan tabung KWAPM, Surat Ikatan Amanah telah dipinda dan diluluskan oleh Perbendaharaan Malaysia pada 25 Mac 2014.
  • Berdasarkan kepada perkembangan dan keperluan masa kini, beberapa penambahbaikan ke atas Surat Pekeliling Kewangan (SPK) Bilangan 2 Tahun 2017 – Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) telah disemak semula bagi memastikan sistem penyampaian bantuan kepada kumpulan sasar adalah lebih cekap dan berkesan. Di antara perubahan-perubahan yang telah dikenal pasti adalah seperti berikut :-
    • Ibubapa/penjaga yang tidak mempunyai bukti pendapatan hendaklah mengemukakan Surat Akuan Pengesahan Pendapatan yang telah disahkan oleh Pegawai ; dan
    • Perubahan perekodan peruntukan bantuan KWAPM yang diterima oleh sekolah.
    • Kadar.

      • Kadar baru Bantuan KWAPM yang diputuskan bermula tahun 2017 adalah seperti berikut :-
DATA BANTUAN AM PERSEKOLAHAN (BAP)
eKASIH, DMOA dan  Data Sedia Ada (DSA)
Sekolah Rendah RM100.00 setahun
Sekolah Menengah RM150.00 setahun

PEMILIHAN / KRITERIA KELAYAKAN :

  • Warganegara Malaysia berdasarkan catatan dalam sijil kelahiran. Sekiranya tiada bukti taraf kewarganegaraan Malaysia, penentuan taraf kewarganegaraan perlu dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk pengesahan. Bagi murid Orang Asli, dokumen permohonan pengesahan taraf kewarganegaraan daripada JAKOA boleh diguna pakai.
  • Murid Tahun 1 hingga 6 dan Tingkatan 1 di Sekolah Kerajaan (SK) dan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK).
  • KIR berdaftar dengan Sistem eKASIH atau DMOA yang disahkan berada pada status Miskin atau Miskin Tegar sahaja.
  • Murid miskin berstatus Orang Asli mengikut Akta 134, Akta Orang Asli 1954 (Pindaan 1974) dan kemiskinan KIRnya disahkan sebagai Miskin atau Miskin Tegar oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
  • Pendapatan Isi Rumah untuk murid DSA adalah berdasarkan Paras Garis Kemiskinan  (PGK) Nasional semasa.
  • Murid yang telah menerima bantuan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP)/Biasiswa Sukan (BS)/Program Pelajar Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh (PKSBP)/Biasiswa Kerajaan Negeri/yayasan/swasta atau apa-apa bantuan persediaan ke sekolah berbentuk kewangan tidak layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan KWAPM.
  • Bagi murid berkeperluan khas/orang kelainan upaya (OKU) juga tidak layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan KWAPM kerana telah dibayar Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK) oleh KPM sebanyak RM150.00 sebulan.
  • Murid yang bertukar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) (menerima (PKSBP) Projek Khas SBP)  atau sekolah yang tidak berada di bawah pentadbiran KPM tidak layak menerima bantuan KWAPM.
  • Murid hanya layak menerima bantuan KWAPM di bawah satu (1) jenis data sahaja, walaupun nama murid tersenarai di dalam ketiga-tiga jenis data (e-KASIH, DMOA dan DSA).

KAEDAH PENYALURAN :

  • Semua peruntukan disalurkan terus ke Akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) bagi sekolah yang mempunyai akaun bank atau ke Akaun Khas di PPD yang berkenaan bagi sekolah yang tidak mempunyai akaun bank.