Wanita hari ini sangat hebat dan peka dalam bab menguruskan kewangan keluarga. Malah golongan hawa ini juga kebiasaannya sangat bijak dan memastikan tidak berbelanja lebih daripada kemampuan dengan mengukur baju di badan sendiri.

Ilmu yang ada pada mereka juga membuktikan wanita mampu menguruskan kewangan keluarga dan sendiri dengan baik. Jadi tidak hairanlah golongan ini mampu merancang dan membuat tabungan masa depan berhemah untuk ahli keluarga kesayangan mereka.

Wanita Kena Pandai Uruskan Kewangan Keluarga

Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga dianggap sebagai pengurus kewangan keluarga kerana peranan mereka membantu dalam menguruskan segala perbelanjaan dapur serta hal ehwal kewangan rumahtangga.

Bukan sekadar memikirkan tentang kewangan keluarga malah wanita juga sering berfikiran ke hadapan terutamanya buat simpanan anak-anak tercinta. Bila punya kewangan yang baik, keyakinan wanita turut meningkat terutamanya dalam menghadapi apa saja cabaran yang mendatang. Jika perbelanjaan tidak dikawal dan melebihi bajet pasti akan memeningkan kepala. Jadi wanita perlu bijak dalam menguruskan kewangan keluarga dan sentiasa beringat untuk menyimpan.

Bukan sekadar terapkan pada diri sendiri malah mak-mak juga memainkan peranan penting dalam mengajar anak berbelanja dan menabung. Ajarkan juga kepada anak-anak menabung walau RM1 sehari.

Imbangi Keperluan & Kehendak

Bagi wanita yang masih bujang, jangan boros tau dalam berbelanja apatah lagi bila membeli barangan mewah janganlah mudah terikut-ikut ‘trend’ terkini dan terpengaruh dengan ‘influencer’. Berbelanja mengikut kemampuan bak kata pepatah ‘ukur baju di badan sendiri’.

Belajarlah untuk mengimbangi keperluan dan kehendak. Setiap dari kita mempunyai keperluan dan kehendak berbeza serta bergantung kepada perspektif dan pengurusan kewangan. Jika keperluan tersebut sesuatu yang tidak dapat dielakkan atau dikurangkan, cuba kurangkan kehendak anda.