KUALA LUMPUR: Tribunal Wanita Malaysia (TWM) yang julung kali diadakan di negara ini mencapai objektif utama penganjurannya dalam mengupas pelbagai bentuk diskriminasi dihadapi wanita dan menghasilkan usul untuk mendepaninya.
Panel tiga hakim terdiri daripada aktivis yang memperjuangkan hak asasi dan wanita, Mary Shanti Dairiam, Zainah Anwar dan Nadia Malyanah, hari ini menyampaikan pelbagai dapatan dan usul berkaitan pelbagai isu dan sub isu yang didedahkan ketika tribunal itu.
Antara lain, isu perkahwinan kanak-kanak, ketidaksamarataan di tempat kerja, wanita kurang upaya, seksualiti, kemiskinan, akses kepada keadilan, keganasan terhadap wanita, kebebasan bersuara dan ketidaksamarataan dalam keluarga.
Isu lain yang dikupas adalah pembahagian tidak sekata, akses penjagaan kesihatan, ketidaksamarataan dalam kewarganegaraan, kesalahan menghendap dan gangguan.
Antara dapatan dan usul berkaitan sub isu adalah penindasan wanita di tempat kerja termasuk isu layanan buruk pihak berkuasa terhadap pekerja seks wanita selain diklasifikasikan sebagai jenayah.
Selain itu, diskriminasi pekerja kontrak khususnya tukang cuci di hospital kerajaan yang berlanjutan sejak 1990-an apabila perkhidmatan itu diswastakan kepada pemegang konsesi oleh Kementerian Kesihatan menyebabkan mereka kehilangan banyak manfaat.
Turut dibentangkan dapatan berhubung hak pekerja domestik termasuk isu penderaan dan ekploitasi pekerja di sektor itu yang berlarutan sehingga kini, walaupun isu ini sering diutarakan.
Panel hakim turut membentangkan dapatan isu membabitkan hak pendidikan dan diskriminasi Orang Asli, isu kesukaran wanita luar bandar mengakses perkhidmatan perubatan, hak wanita mengakses hak undang-undang keluarga serta isu kewarganegaraan anak yang dilahirkan ibu warga Malaysia di luar negara.
Dalam sesi pembentangan hasil dapatan dan rekomendasi atau usul yang diadakan secara maya di Google Zoom hari ini, Mary Shanti memaklumkan 26 saksi terdiri daripada wanita dan transgender tampil memberikan testimoni dalam sesi tribunal yang berlangsung pada 27 dan 28 November lalu.
Katanya, kesemua saksi menceritakan mengenai pelanggaran hak asasi yang dialami mereka dalam pelbagai konteks oleh pihak atau organinasi yang tidak menghormati hak asasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kenyataan semua saksi menunjukkan mereka menjadi mangsa diskriminasi sekali gus menjejaskan hak mereka, terutama golongan wanita rentan.
"Perkara ini amat mengecewakan kerana Malaysia meratifikasi dan menandatangani pelbagai konvensyen antarabangsa seperti Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 1995," katanya.
Beliau berkata, selepas hampir tiga dekad, komitmen Malaysia ke arah kesamarataan gender kekal di atas kertas sahaja dan belum dapat dicapai, malah masalah dihadapi oleh wanita sebelum 1995 masih berterusan.
Mengulas isu kesamarataan di tempat kerja, Mary Shanti berkata, lapan wanita berkongsi pengalaman pelanggaran hak asasi, antaranya ruang kerja yang toksid dan seksis (diskriminasi berdasarkan jantina) dan menindas pekerja wanita.
"Rakan kerja lelaki membuat kenyataan seksis dan gurauan lucah sering berlaku, terutama apabila lebih ramai pekerja lelaki berbanding wanita serta pekerja bertaraf senior dan suasana ini membuat wanita rasa tertekan.
"Ada banyak sistem di tempat kerja yang mengehadkan kemampuan wanita dan memajukan diri walaupun mereka mempunyai kelayakan tinggi dan perkara ini berlaku di peringkat institusi hingga menjejaskan hak wanita," katanya.
Justeru, katanya, gangguan dan pelanggaran hak di tempat kerja perlu dihapuskan dan Jabatan Buruh perlu diperkasakan untuk membolehkan mengambil tindakan terhadap majikan yang mengeksploitasi dan menindas pekerja wanita.
Mengenai isu keganasan terhadap wanita, Mary Shanti berkata, pihaknya mendapat banyak perkongsian yang mencerminkan keganasan terhadap wanita termasuk mangsa gangguan dan mangsa perbuatan menghendap.
"Ada saksi yang pada mulanya diganggu melalui kata-kata yang berunsur seksual dan merendahkan martabatnya sebagai wanita sebelum gangguan bertukar kepada ancaman keganasan yang serius melalui media sosial.
"Bagi mangsa hendap atau 'stalking' pula, mereka tidak dilindungi oleh undang-undang di negara ini kerana perbuatan itu belum diklasifikaskan sebagai perbuatan jenayah.
"Perbuatan ini juga amat berleluasa yang mana kajian Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mendapati 39 peratus wanita pernah mengalami perkara ini," katanya.
Beliau berkata, jika mangsa membuat laporan polis, perkara itu tidak diambil serius malah mangsa dipersalahkan dan tidak diberikan akses untuk mendapat keadilan.
Mary Shanti berkata, semua dapatan dan usul daripada TWM akan disampaikan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi kerajaan berkaitan untuk tindakan sewajarnya bagi memastikan kebersamaan dan hak wanita dipelihara dalam isu yang didedahkan.