Golongan wanita menghampiri fasa menopaus wajar buat saringan, elak risiko serangan jantung
Fahmi Izuddin
September 18, 2023 11:45 MYT
KUALA LUMPUR: Golongan wanita yang menghampiri fasa menopaus atau pemberhentian haid (menstruasi) perlu melalukan saringan kesihatan untuk mengelakkan risiko serangan jantung.
Menurut Pakar Perunding Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr Rafidah Abu Bakar, langkah itu wajar untuk golongan wanita mengetahui jika mereka mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, dan peningkatan kolestrol.
"Apa yang perlu setiap wanita tahu,apakah risiko-risiko yang mereka alami, mereka kena tahu tahap kolestrol dan wajar buat saringan untuk mengetahui adakah mereka menghidap penyakit kencing manis atau tekanan darah tinggi.
"Di Malaysia, pesakit tidak tahu apa risiko yang mereka ada, bila datang hospital itu datang dengan serangan jantung, sehinggakan mereka tak pernah tahu mereka ada tekanan darah tinggi dan kencing manis kerana tak pernah buat saringan.
"Apa yang sangat penting kena buat ujian saringan untuk pastikan kita tak ada risiko, yang kita boleh tackle early," ujarnya ketika menjadi tetamu dalam program AWANI Pagi pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, wanita yang berada dalam fasa menopaus bermakna, badan mereka kurang menghasilkan hormon estrogen dan golongan ini terdedah dengan tekanan stres melampau, dan gangguan emosi.
"Bila menopaus ini akan ada kekurangan hormon estrogen, ini adalah hormon penting mengawal kolestrol, dan kurangkan kebarangkalian dapat tekanan darah tinggi.
"Bila kurang estrogen dalam badan, paras low-density lipoprotein (LDL) kolestrol para wanita ini akan jadi lebih tinggi," katanya.
Selain itu, dalam usaha mengurangkan risiko serangan jantung, golongan wanita juga mempuntyai pilihan untuk melakukan rawatan Hormon Replacement Treatment (HRT).
Bagaimanapun, ia perlu dilakukan secara awal kesannya berbeza mengikut individu.
"Jika kita beri rawatan awal, semasa 10 tahun semasa wanita itu menopause, wanitu itu boleh mengurangkan risiko mendapat serangan jantung, tapi selalunya kena berhati-hati, kerana kena tengok juga sebab boleh dapat komplikasi daripada HRT," ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, jika ada golongan wanita yang ingin mengamalkan pengambilan suplemen, ia tidak boleh dihalang tetapi berdasarkan kajian kesihatan, pengambilan suplemen tidak mempunyai perubahan yang ketara terhadap badan individu dalam konteks menopaus.
"Bila kita tengok kajian, mereka tidak menunjukkan any significant benefits, it's not harmful, boleh ambil tapi harus diingat dari segi kajian kesihatan mereka tidak menunjukkan supplement ini berguna," katanya.
Dalam masa sama, Dr Rafidah menekankan golongan wanita untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat, seperti bersenam dan menjaga pemakanan berbanding berbanding mengamalkan pemakanan suplemen secara berlebihan.