SULTAN PAHANG IV

                                                                                                                            
1932-1974
Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah

DK., SIMP., DMN., DK(Brunei)., DK(Johor)., DK(Kedah)., DK(Perak)., SPDK(Sabah)., GCMG.

  • Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah telah diputerakan pada 29 Mei 1904 bersamaan 14 Rabi'ul Awal Tahun 1322 Hijrah. Baginda merupakan putera kepada Al-Marhum Sultan Abdullah dengan Che Kalsum bt Abdullah.
  • Baginda telah diasuh, dipelihara dan dijaga dengan penuh kasih sayang oleh Hajjah Aishah sehingga dewasa. Baginda telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pekan. Selepas itu, Baginda menyambung pendidikannya di dalam aliran Inggeris di Maktab Melayu Kuala Kangsar atau dikenali sebagai Malay College Kuala Kangsar(MCKK) di Negeri Perak.
  • Baginda sentiasa menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, daerah, kampung- kampung untuk bersama-sama dengan rakyat jelata. Baginda juga turut menyokong proses untuk mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada ketika itu. Ketika pemerintahan Baginda jugalah telah lahir ramai pendekar-pendekar yang handal di negeri Pahang.
  • Semasa remajanya, Baginda mempunyai kegemaran dan minat dalam seni budaya seperti Gamelan, Zapin, Inang, Canggong, Cinta Sayang hinggalah tarian- tarian moden yang lain. Pada tahun 1972, Baginda telah membawa balik Gamelan ke Negeri Pahang yang telah dibeli dari Tengku Mariam, ibu saudara Baginda dari Terengganu. Selain itu, Baginda juga begitu aktif dalam lapangan sukan seperti permainan Polo, Tenis, Lumba Kuda, Lumba Perahu, dan sebagainya.
  • Baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Raja Fatimah, puteri kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Shah Ibni Al-Marhum Sultan Idris Shah, di Kuala Kangsar, Perak. Perkahwinan Baginda merupakan perkahwinan di antara dua kerabat Diraja yang mempunyai pertalian persaudaraan iaitu saudara sepupu melalui bonda Tengku Ampuan Fatimah yang bernama Tengku Nong binti Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah.
  • Pada 4 Jun 1930, Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdullah
    Al-Mu'tasim Billah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah telah berkenan melantik Tengku Abu Bakar Ibni Sultan Abdullah Al-Mu'tasim Billah sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang.
  • Baginda merupakan putera Raja yang pertama dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam sejarah Kesultanan Pahang.
    Berikutan kemangkatan ayahanda Baginda, Baginda menaiki takhta Kerajaan negeri Pahang pada 24 Jun 1932. Baginda kemudiaannya ditabalkan sebagai Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah pada hari Ahad, 28 Mei 1933 di Istana Pantai, Pekan. Pada waktu itu, usia Baginda baru mencecah 28 tahun dan Baginda merupakan Sultan Pemerintah yang paling muda di dalam sejarah Raja-Raja Tanah Melayu pada ketika itu.
  • Di zaman pemerintahan Baginda, bermulalah mercu tanda pembangunan Negeri Pahang moden, di mana perubahan dari segi politik dan sosial berlaku dengan cukup pesat walaupun dengan kemaraan Tentera Jepun di Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua.
  • Semasa penjajahan Jepun dalam tahun 1941 hingga tahun 1945, Al-Marhum telah bersetuju dengan secara sulit supaya orang-orang Melayu dalam negeri ini menubuhkan Pasukan Tentera Wataniah yang dikenali dengan nama 'Pasukan 136' yang ketika itu diketuai oleh Yoep Mahidin, Tun Haji Abdul Razak Hussain, Tan Sri Ghazalie Shafie dan Abdul Rahman Ismail. Peranan yang dimainkan oleh Baginda dalam menghadapi jajahan Tentera Jepun di Pahang telah membuktikan kewibawaan Baginda sebagai Raja yang berdaulat.
    Peristiwa di mana Baginda ditahan selama 27 hari di Ladang Getah Ng Tiong Kiat, Sungai Jerik (17 Ogos 1945 - 9 September 1945) menjadi natijah kecekapan, kecekalan, kesabaran dan kewibawaan Baginda dalam mengatasi saat-saat yang sangat kritikal. Kejadian tersebut telah menggemparkan masyarakat Pahang pada ketika itu.
  • Kepesatan pertumbuhan ekonomi seperti perlombongan bijih timah, emas dan perladangan getah berlaku pada zaman pemerintahan Baginda sejurus selepas Kemerdekaan Tanah Melayu. Semasa pemerintahan Baginda juga, ibu negeri Pahang yang pada ketika itu Kuala Lipis, telah dipindahkan ke Kuantan. Sebagai seorang Raja Pemerintah yang sangat prihatin atas segala hal ehwal berkaitan perkembangan agama Islam di Negeri Pahang, Baginda telah mengambil beberapa langkah untuk kemajuan dan kebangkitan agama. Di antaranya, pada Mac 1950 menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang, menghidupkan kembali jawatan Mufti kerajaan kepada jawatan Kadi Besar serta mewujudkan sebuah Sekolah Arab Tinggi dengan nama Kuliah Al-Lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar Pahang dalam tahun 1941.
  • Baginda merupakan seorang Raja pencetus kemodenan atau pembawa arus perubahan di dalam sejarah Negeri Pahang moden. Banyak adat-adat yang tidak bersesuaian pada masa itu ditinggalkan. Baginda mengikut dan bergerak menurut masa dari segi pemikiran, pemerintahan dan memimpin rakyat. Baginda mangkat pada 5 Mei 1974 di Istana Kecil, Pekan setelah memerintah negeri Pahang selama 42 tahun.

Sumber daripada Portal Kesultanan Pahang
Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang