MBM dukacita keputusan kerajaan tangguh pembentangan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023

Masalah merokok terutamanya penggunaan vape dalam kalangan belia sudah semakin berleluasa dan tiada sebab untuk kerajaan menangguhkan kawal selia terhadap produk ini. Situasi ini jelas dilihat dalam Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 di mana peratus penggunaan vape dalam kalangan remaja telah melonjak daripada 9.8% pada tahun 2017 kepada 14.9% pada tahun 2022.

MBM percaya penangguhan kelulusan RUU tersebut termasuklah peruntukan Generasi Penamat Rokok akan memanjangkan lagi isu kawal selia terhadap produk merokok ini dan industri terus bebas menjalankan aktiviti promosi dan penjualan bagi menarik lebih ramai anak muda untuk terjebak dengan tabiat merokok.

Justeru, pihak kerajaan sewajarnya menyokong usaha ke arah merealisasikan RUU ini bagi memastikan masyarakat Malaysia bebas daripada sebarang amalan merokok. 

Masalah merokok terutamanya penggunaan vape amat membimbangkan kerana produk yang berada dalam pasaran bukan sahaja mengandungi kadar nikotin yang sangat tinggi tetapi juga berpotensi untuk dicampur dengan dadah merbahaya seperti magic mushroom dan sebagainya.

Umum mengetahui, penagihan dadah bermula dengan merokok dan apabila belia telah terjebak dengan masalah penagihan tersebut, negara akan menanggung kerugian.

Oleh itu, kerajaan mestilah bertindak segera dan tidak seharusnya melengah-lengahkan proses pembentangan dan kelulusan RUU ini. MBM turut menggesa Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam isu ini supaya gagasan masyarakat MADANI dapat dicapai.

MBM bersama 41 buah badan gabungannya turut menyatakan komitmen untuk membantu dan menjadi rakan strategik kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjalankan aktiviti intervensi dan pencegahan merokok terutamanya melibatkan belia melalui program Generational End Game Anti-Merokok (GEGAR-18).

MBM berharap usaha dalam memastikan Malaysia mencapai negara bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok akan membawa kepada persekitaran yang positif dan harmoni seterusnya mewujudkan satu ekosistem yang kondusif dalam membantu perkembangan belia di Malaysia.

HASNUL HANIFF HARUN

Setiausaha Agung

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 11 Oktober 2023