Tekanan darah kebanyakan orang turun pada waktu malam, tetapi pada sebilangan orang, ianya sama atau naik, dikenali sebagai penurunan terbalik.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam talian pada 15 April dalam jurnal Neurology. mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi dan penurunan terbalik di waktu malam mungkin berisiko tinggi mengalami kerosakan vaskular di otak dan masalah ingatan yang berkaitan.
"Nampaknya penurunan terbalik dapat meningkatkan kesan tekanan darah tinggi terhadap kesihatan serebrovaskular seseorang dan kemampuan kognitif yang berkaitan," kata penulis kajian Adam Brickman, profesor neuropsikologi di Columbia University.
"Dapatan ini menambah bukti yang menunjukkan pentingnya faktor risiko vaskular dalam sumbangan kepada masalah ingatan," katanya dalam siaran berita jurnal.
Kajian itu melibatkan 435 orang, purata usia 59 tahun. Tekanan darah mereka dipantau selama 24 jam di rumah dengan alat yang membuat bacaan setiap 15 minit pada siang hari dan setiap 30 minit pada waktu malam.
Para peserta juga menjalani imbasan otak dan ujian memori dan kemahiran berfikir mereka yang lain.
Hampir 6 dari 10 mempunyai tekanan darah tinggi atau sedang mengambil ubat untuk tekanan darah tinggi. Tekanan darah menurun pada waktu malam di kalangan separuh peserta, tetap sama bagi 40% dan meningkat bagi 10%.
Berbanding dengan peserta lain, mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi dan penurunan terbalik mengalami kerosakan vaskular lebih dari dua kali ganda pada jirim putih otak mereka. Mereka juga mempunyai skor ujian memori yang lebih rendah.
Menurut kajian tersebut, perbezaan memori sebahagiannya dijelaskan oleh perbezaan tekanan darah dan status penurunan. Tetapi para penyelidik menyatakan bahawa penemuan itu datang dari satu ketika dan hanya perkaitan dicerap, bukan hubungan sebab-akibat.
"Dapatan juga menunjukkan kesan potensial mencegah tekanan darah tinggi dengan mengekalkan berat badan yang sihat, aktif secara fizikal dan mempunyai diet yang sihat," tambah Brickman
"Kajian lebih lama yang memantau peserta dari masa ke masa diperlukan untuk menentukan sama ada faktor-faktor ini memang membawa kepada perubahan jirim putih dan masalah ingatan, walaupun penemuan awal kami sememangnya selaras dengan hipotesis ini," katanya.
Dipetik dari US News - 17 April 2020