Makanan bukan sahaja merupakan satu komoditi pertanian dan perdagangan tetapi yang lebih penting ia boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan awam. Dengan itu kemampuan untuk mengekalkan perkembangan di dalam sektor makanan bergantung kepada keberkesanan program keselamatan makanan yang bertujuan untuk melindungi pengguna daripada ancaman kesihatan dan penipuan, disamping mengalakkan perdagangan makanan.

Memandangkan kemungkinan kesannya kepada ekonomi dan kesihatan awam terutamanya semasa krisis keselamatan makanan, kepentingan keselamatan makanan atau pengurusan risiko (risk management) tidak boleh dipandang ringan.

Kemajuan dan perkembangan di dalam bidang sains dan teknologi telah melipatgandakan pengeluaran pertanian dan makanan. Walaupun ini mendatangkan manfaat, akan tetapi tanpa sebarang pengawalan ia boleh menimbulkan risiko yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Perubahan dalam citarasa dan kecenderungan pengguna serta peningkatan pendapatan telah memainkan peranan utama untuk mempelbagaikan pilihan dan kebolehdapatan (availability) makanan. Di samping itu, globalisasi perdagangan makanan, peningkatan kebergantungan ekonomi dan pertukaran budaya juga telah beransur-ansur mempengaruhi penerapan pelbagai citarasa dan kecenderungan pengguna. Ini telah mengakibatkan kemasukkan pelbagai jenis makanan secara meluas ke dalam pasaran, menjadikannya satu bebanan kepada kerajaan kerana sumber yang terhad bagi menjamin keselamatan makanan.

Pelaksanaan perjanjian-perjanjian perdagangan antarabangsa dan serantau akan terus meliberalisasikan perdagangan makanan dan ini mengakibatkan kemasukkan makanan ke dalam pasaran secara mendadak. Dengan termeterainya Perjanjian Sanitary and Phytosanitary Measures(SPS) dan Technical Barriers to Trade (TBT) di bawah Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO) negara-negara anggota telah dibebankan dengan kewajipan baru berkaitan keselamatan makanan dalam perdagangan makanan di peringkat antarabangsa bagi melindungi hak-hak negara anggota.

Kesemua tekanan dan cabaran ini telah mendorong kepada keperluan untuk memformulasikan dasar keselamatan makanan kebangsaan yang bersepadu.


Untuk sebarang pertanyaan, sila e-mel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.