Ketua kampung, JPKK diingatkan sentiasa turun padang - Hajiji

Eleanor Michelle Patrick
 
Hajiji turut mengingatkan ketua kampung dan JPKK agar terus menyampaikan semua bantuan yang diberikan kerajaan kepada rakyat, terutama ketika krisis kesihatan ini. - Gambar fail
 
TUARAN: Ketua kampung serta pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK) digesa untuk sentiasa turun padang bagi mengetahui masalah penduduk di kawasan mereka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata ia termasuk bagi menerangkan agenda pembangunan oleh kerajaan negeri.
Jelasnya, sebagai pemimpin di peringkat akar umbi, mereka perlu menjalankan amanah dan tugas yang diberikan dengan penuh tanggungjawab, khususnya ketika penularan pandemik COVID-19 ini.
Penularan pandemik COVID-19 memberi kesan besar ke atas ekonomi negeri dan rakyat, malah banyak sektor yang terjejas termasuk pelancongan.
Sebab itu apabila kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerajui kerajaan negeri, saya melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai agenda atau pelan pembangunan negeri ini.
 
“Hala Tuju SMJ ini adalah untuk memulihkan semula ekonomi dan kesejahteraan rakyat di negeri ini. Kerajaan juga turut memberikan pelbagai bantuan termasuk pemberian tunai one-off untuk membantu ekonomi rakyat.
“Justeru, ketua kampung dan JPKK memainkan peranan penting untuk menjelaskan agenda ini kepada rakyat di kawasan masing-masing. Apa bantuan yang diberikan dan siapa yang layak untuk mendapatkannya,” katanya di majlis penyampaian Sumbangan Bakul Makanan B40 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, di sini hari ini.
Penyerahan sumbangan itu membabitkan tiga mukim di DUN Sulaman iaitu Mukim Serusup, Indai dan Tambalang. Tambah beliau, Halatuju SMJ akan dilancarkan pada hujung bulan ini.
Setakat 11 Mac 2021, sebanyak 284,666 bakul makanan atau kira-kira 85.59 peratus sudah diagihkan kepada golongan sasar di Sabah.
Mengulas lanjut, Hajiji yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman turut mengingatkan ketua kampung dan JPKK agar terus menyampaikan semua bantuan yang diberikan kerajaan kepada rakyat, terutama ketika krisis kesihatan ini.
“Jangan pula apabila dilantik sebagai pemimpin, hanya mahu fikir projek sahaja, tidak mahu turun padang, tidak mahu bekerjasama termasuk meminggirkan mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan.
“Sebaliknya kita perlu peka dengan setiap masalah penduduk di kawasan masing-masing dan menyampaikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan kepada rakyat,” katanya sambil menambah pelbagai bantuan yang diberikan itu membuktikan GRS adalah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab.

Kalendar

April 2024
S M T W T F S
1 2 3 4 5 6
7 8 9 10 11 12 13
14 15 16 17 18 19 20
21 22 23 24 25 26 27
28 29 30