Peluang Kerjaya Pada Belia
Kuala Lumpur | 9 Februari – Majlis Belia Malaysia (MBM) menerima kunjungan daripada Pusat Pembangunan Pengajian Serantau (PPPS) dalam usaha menjalinkan satu kerjasama membantu belia mendapatkan peluang kerjaya dan pendidikan. Pertemuan diadakan di Wisma Majlis Belia Malaysia.
Secara umumnya, PPPS adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam aktiviti kegiatan pekhidmatan melalui pelbagai cabang dan peluang dalam bidang pendidikan bagi membantu negara kearah mewujudkan masyarakat yang bermentaliti optimis dalam bidang perniagaan, keusahawanan dan kemahiran.Menurut Pengarah Urusan PPPS, Puan Azliza, tujuan kerjasama antara PPPS dan MBM adalah untuk membantu belia terutamanya golongan belia minoriti dalam mendapatkan akses yang mudah kepada pendidikan kemahiran yang akan membantu meningkatkan peluang kerjaya yang lebih luas kepada mereka.
“PPPS akan membantu belia mendapatkan segala kemudahan pendidikan bukan sahaja dari sudut penginapan, malah termasuklah dari segi mendapatkan pembiayaan daripada institusi zakat, kerajaan negeri dan lain-lain supaya mereka dapat belajar. Kami akan bertindak sebagai pemudahcara kepada belia.” ujar beliau.
MBM yang diwakili Setiausaha Agung, Hasnul Haniff Harun menyambut baik ruang kerjasama yang ditawarkan oleh pihak PPPS. Menurut beliau, peluang ini sedikit sebanyak akan membantu mengurangkan masalah pekerjaan dalam kalangan belia akibat pandemik covid-19. Dalam masa yang sama, beliau berharap fokus dapat diberikan kepada golongan belia minoriti seperti belia orang asli dan belia OKU.
Hadir sama dalam kunjungan ini adalah Sdr. Ash Mahat, Pengarah Urusan MyOKU Niaga Sdn. Bhd.