jerebuklcc

JEREBU yang melanda negara ini dikhuatiri semakin serius apabila beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan skala bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, pada Selasa.

Setakat pukul 7 pagi Selasa, beberapa lokasi di ibu negara mencatatkan IPU tidak sihat dengan Batu Muda di paras 138, Cheras (130) dan Putrajaya (126).

Di Selangor pula, Johan Setia mencatat paras IPU di tahap 158, Petaling Jaya (127), Shah Alam (121), Klang (117) dan Banting (123).

Sementara itu di Tangkak, Johor, IPU yang direkodkan berada pada paras 109, manakala Rompin, Pahang mengalami peningkatan mendadak daripada 98 pada Isnin malam kepada 197 pada Selasa pagi.

 

Memetik laporan Berita Harian, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Isnin mengeluarkan kenyataan bahawa kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

Selain itu, kebakaran belukar bagi tujuan pertanian yang berlaku di Jalan 9, Johan Setia, Klang memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di stesen Johan Setia, Klang dan jerebu setempat di Bandar Putera 2, Klang.

Bacaan IPU boleh disemak menerusi laman sesawang rasmi http://apims.doe.gov.my.


Baca lebih lanjut di https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2019/09/10/jerebu/#s6E6wj1PkhlURKyR.99